Potong Kuku Mengikut Sunnah

Potong Kuku Mengikut Sunnah

08/17/2018 0 By admins

MEMOTONG KUKU MENURUT ISLAM

Perlu diketahui bahawa memotong kuku adalah amalan sunat. Jika dilakukan mengikut islam (sunnah), Maka bertambah-tambah la pahala yang dapat.
Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

 

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanankeseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari. Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.

 

Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku. Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

 

RASULULLAH S.A.W bersabda yang ertinya:-

Barang siapa yang memotong kukunya pada:

Hari Sabtu: Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit.

 

Hari Ahad: Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan.

 

Hari Isnin: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat

 

Hari Selasa: Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit

 

Hari Rabu: Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.

 

Hari Khamis: Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.

 

Hari Jumaat: Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.

 

Walaupun tidak ada hadis sahih berkenaan persoalan memotong kuku dan boleh memotong kuku tanpa mengikut hari-hari tertentu. Tetapi, pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat adalah hari yang diutamakan untuk melakukan ibadat sunat. Oleh yang demikian, sunat memotong kuku pada hari-hari tersebut.

Jadi, potong kuku bukan sebarang potong tapi ada kaedahnya. Walaupun ia hanya kuku tapi ia adalah sebahagian dari badan kita yang perlu kita hormati. Misalnya, potong kuku ada adabnya selain ikut hari, kita juga perlu buang kuku tu pada tempat yang tidak kotor sebagaimana yang diajar, eloklah buang ke tanah kerana kita juga adalah unsur tanah, Bukannya tong sampah sekalipun tong sampah tu bersih.

Mulakan potong kuku tu mulai dengan Bismillah dan selawat Nabi dan potong bermula dengan jari telunjuk sebelah kanan sampai habis tangan kanan, kemudian jari kelingking sebelah kiri sampai ibu jari tangan kiri dan Last sekali ibu jari tangan kanan. Kalau kaki pula, mulakan dengan jari kelingking kaki kanan sampai kelingking kaki kiri. Itulah cara memotong kuku cara Islam ( sunnah ) yang paling kuat dipegang selama ini walaupun ada banyak khilafnya.

Soalan:

Apakah hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan nifas?

 

Jawapan:

Dalam isu ini, sememangnya ramai ulama yang terkemudian dalam mazhab Syafie menyebut dalam kitab-kitab mereka pendapat Imam al-Ghazali tentang larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub. Berkata Imam al-Ghazzali dalam Ihya Ulumiddin (2/51):

“Dan tidak sepatutnya seseorang itu mencukur rambutnya, memotong kukunya, mencukur bulu ari-arinya, atau mengeluarkan darahnya, atau mengeluarkan satu bahagian daripada dirinya, sedang dia dalam keadaan dia berjunub. Ini kerana sekalian bahagian itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub lalu dikatakan kepada orang itu : “Sesungguhnya setiap bulu-bulu ini menuntut kepadanya atas keadaan janabah (atau kenapa ia dibangkitkan dalam keadaan hadas besar).”

Kenyataan ini dipetik sebagai faedah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj oleh Imam al-Haitami (1/284), al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (1/70), Nihayah al-Muhtaj oleh Imam Syams al-Din al-Ramli (1/229), Tuhfah al-Habib oleh Imam al-Bujairimi (1/247) dan lain-lain.

Berkata al-Bujairimi: “Pada (pendapat al-Ghazali) ini ada nazar (kritikan), kerana bahagian badan yang kembali kepada jasad seseorang itu adalah berdasarkan keadaannya sewaktu mati, bukannya sekalian kukunya yang telah dipotong selama umurnya, bukan juga rambut, maka pendapat ini perlu dirujuk kembali. Al-Qalyubi juga menyatakan bahawa kerana kalau dikembalikan kepada seseorang itu akan sekalian kuku dan rambut itu pada jasadnya nescaya akan buruklah rupanya dek kerana panjang kuku dan rambut itu. Manakala al-Madabighi pula berkata bahawa dikembalikan sekalian juzuk badan itu yakni bahagian yang asal sahaja seperti tangan yang terpotong, bukannya rambut atau kuku… Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Setiap seorang daripada manusia akan bangkit dalam keadaan yang dia mati kemudian apabila masuk syurga mereka akan jadi tinggi (seperti saiz Nabi Adam AS.).”

Berdasarkan keterangan ini, kami berpendapat bahawa perbuatan mencukur dan memotong rambut, atau memotong kuku, sewaktu haid bukanlah haram. Tambahan lagi, kenyataan Imam al-Ghazali itu jika dilihat konteks perbincangannya di dalam kitab al-Ihya lebih kepada situasi berjunub disebabkan jimak yang boleh dipendekkan waktu hadas besarnya, bukan bagi haid atau nifas. Ini kerana waktu haid dan nifas agak panjang dan mungkin menyukarkan kaum wanita untuk berhati-hati terhadap setiap rambut yang gugur dan kuku yang dipotong. Begitu juga Imam al-Ghazali menggunakan sighah لا بنبغي  yang lebih bermaksud “tidak sepatutnya”. Ini lebih menunjukkan kepada larangan bersifat makruh dan bukan haram.

Sekalipun kami berpendapat tidak makruh atau haram, terpulang kepada orang ramai untuk mengambil langkah keluar daripada khilaf kerana ini soal peribadi. Begitu juga jika ada yang ingin menyimpan kuku dan rambut yang terputus sewaktu haid dan nifas kemudian dimandikan apabila sudah suci. Semoga Allah Taala menerima amalan kita dan menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat-Nya.

 

Rujukan : http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/879-al-kafi-607-hukum-memotong-kuku-atau-rambut-ketika-haid-dan-nifas