Tawaf dan permasalahan

Tawaf dan permasalahan

08/06/2018 0 By admins

Tawaf dan permasalahan

Tawaf adalah amalan yang sangat penting dalam ibadat haji dan umrah. Ia merupakan rukun yang perlu dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Jika tidak sempurna maka tidak sah tawaf sama ada tawaf haji atau umrah.

Jenis-Jenis Tawaf

 

Tawaf Rukun

Tawaf yang dilakukan untuk menyempurnakan rukun-rukun haji ataupun rukun umrah. Ada juga dikenali sebagai tawaf haji dan tawaf umrah.

 

Tawaf Qudum

Iaitu tawaf bagi jemaah yang masuk ke Mekah dan juga dikenali sebagai tawaf selamat datang. Ini adalah sebagai penghormatan kepada Tanah Haram iaitu dengan melakukan tawaf qudum. Tawaf qudum adalah sunat. Bagi jemaah yang masuk dengan melakukan umrah, tawaf umrah akan terjadi serentak dengan tawaf qudum.

 

Tawaf Sunat

Tawaf yang dilakukan bila-bila masa yang sesuai. Tawaf ini dikenali dengan tawaf sunat. Jika dilakukan dapat pahala, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala. Tawaf ini dimulai dengan niat: “Sahaja aku melakukan tawaf sunat tujuh keliling di Baitullah Haram kerana Allah SWT”. Tawaflah menurut syarat-syaratnya.

 

Tawaf nazar

Tawaf nazar ini dilakukan sekiranya jemaah atau seseorang itu bernazar untuk melakukan tawaf. Maka tidak dapat tidak mestilah sempurnakan nazar tersebut. Contohnya: “Saya bernazar kalau dapat anak, saya ingin tawaf tujuh kali”. Ia mesti laksana nazar tersebut dengan tujuh kali tawaf.

 

Tawaf tahiyatu al-bait

Tawaf ini bagi memberi penghormatan kepada Baitullah. Apabila jemaah masuk ke dalam Masjid Haram, disunatkan tawaf tahiyatu al-bait. Sekiranya tidak ada kesempatan masa boleh melakukan solat tahiyatul masjid. Kesuntukan masa disebabkan waktu solat atau kesesakan semasa tawaf.

 

Tawaf tahallul

Tawaf yang dilakukan oleh seseorang jemaah yang melaksanakan haji. Contohnya hajinya terbatal disebabkan oleh sesuatu (seperti jimak sebelum tahallul awal) mereka perlu juga tawaf. Tawaf inilah yang dikatakan tawaf tahallul.

 

Tawaf wada’

Tawaf yang dilakukan oleh jemaah sebelum mereka meninggalkan Mekah. Tawaf ini wajib dilakukan oleh setiap orang kecuali bagi mereka yang dikategorikan uzur/dikecualikan seperti di bawah :-

 

* Wanita yang datang haid/nifas atau istihadah.

* Kencing yang sentiasa keluar tak henti.

* Orang yang luka darah tidak terhenti keluar.

* Dipaksa meninggalkan tawaf.

* Takut kepada orang zalim.

* Takut ditinggal teman sepemergian.

* Takut kepada peminta hutang kerana tidak upaya.

Uruf (tempoh masa kebiasaan yang boleh menunggu kenderaan untuk meninggalkan Mekah selepas tawaf wada’) adalah di antara tiga ke empat jam.

 

Berikut beberapa permasalahan hukum berkaitan ibadah tawaf:

 

Isu batal wuduk bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu. Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan jika di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

Dalam al-Nihayah menyatakan bahawa, orang yang haid yang perlu tawaf boleh bertaklid kepada mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu riwayatnya. Sheikh Abdul Fatah Husin Rawah berkata: “Ini kerana kedua-duanya berpendapat tidak disyaratkan taharah daripada dua hadas dalam tawaf sama seperti wuquf di Arafah.”

 

Orang nifas sama hukumnya dengan orang yang haid dalam berkenaan dengan sah tawafnya.

Sheikh Abdullah bin Jasir dalam bukunya Mufid al-Anam berkata: “Sheikh al-Islam berpendapat, begitu juga perempuan yang haid jika tidak mungkin melaksanakan tawaf fardu dengan sebab kesuntukan waktu dan terpaksa meninggalkan Kota Mekah mengikut satu pendapat di kalangan ulama, memadai baginya. Namun dikenakan dam sama ada seekor kambing atau seekor unta jika haid atau janabah dan seekor kambing jika daripada hadas kecil.”

 

Walaupun begitu, beliau berpendapat sewajarnya wanita dalam haid tidak tawaf kecuali dalam taharah. Niat tawaf, jika tawaf bukan ibadat haji dan umrah, maka tidak sah tanpa berniat tanpa sebarang khilaf. Ibn Allan berkata: “Adapun qasad perbuatan, maka wajib niat secara mutlak.”Sebaliknya menentukan niat adalah jika sekiranya selain daripada tawaf nusuk (haji) atau umrah. Ini kerana sunat niat atas niat. Jika fardu seperti tawaf nazar maka hukumnya adalah wajib.

 

Idtiba’ hanya pada tawaf yang ada berlari anak (raml), tanpa raml tiada idtiba’ padanya. Didatangkan keterangan tentang tawaf yang disertai raml melainkan disunatkan idtiba’ pada semua pusingan tawaf yang tujuh, sedangkan raml hanya untuk tiga pusingan yang pertama.Kanak-kanak seperti orang yang baligh sunat idtiba’ mengikut mazhab yang masyhur. Perempuan tidak boleh idtiba’ kerana tempat idtiba’ itu bagi perempuan adalah aurat.

 

Istilam (mengucup atau menyentuh hajar al-aswad) atau jika tidak berdaya (kerana ramai orang) memadai dengan diisyaratkan menyapu daripada jauh dengan tangan kemudian mengucupnya) hajar al-aswad dan mengucupnya dengan meletakkan wajahnya pada batu tersebut dan telah diterangkan terdahulu.

 

Sunat juga dia istilam Rukun Yamani tanpa mengucupnya. Cukup hanya mengucup tangan yang dia istilam dengannya. Kucupan tersebut hendaklah selepas istilam. Inilah pendapat yang sahih dan pendapat jumhur ashab kami.

 

Imam al-Haramain berkata: “Jika dia mahu, boleh mengucupnya kemudian istilam dengannya dan jika dia mahu, dia istilam kemudian dia mengucupnya. Pendapat yang terpilih adalah mazhab jumhur.”

 

Imam al-Nawawi berkata: “Berturutan antara pusingan tawaf hukumnya sunat muakad. Namun, ada pendapat yang mengatakan wajib.” Jika terpisah dengan masa yang lama dan dia menyangka melihat padanya telah memutuskan tawafnya atau selesai daripada tawafnya, lebih baik melakukan semula untuk keluar daripada khilaf.

 

Jika dia berpegang dengan pendapat yang pertama, tidak perlu mengulang. Hukumnya harus mengikut pendapat yang asah.

  •  Ijmak ulama berpendapat tawaf pada waktu-waktu yang dilarang solat adalah harus.
  •  Dalam Mazhab Syafie, solat sunat tawaf harus dilakukan pada semua waktu tanpa makruh. Demikian juga dengan Mazhab Hanbali.
  •  Sunat istilam Hajar al-Aswad dan di sisi Mazhab Syafie mengucupnya dan meletakkan dahi padanya.
  •  Rukun Yamani mengikut Mazhab Syafie hanya sunat istilam tanpa mengucup.
  •  Idtiba’ dan raml hukumnya sunat di sisi Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali.
  •  Syarat taharah daripada dua hadas dan najis serta menutup aurat adalah syarat di sisi Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali.
  •  Sunat membaca al-Quran ketika tawaf mengikut pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Syafie dan Ahmad.

 

Jika jenazah hadir untuk disolatkan sedangkan ketika itu ada yang bertawaf, ada dua pendapat:

 

  1. Mengikut Mazhab Syafie menyempurnakan tawaf adalah lebih utama. Ini juga pendapat Malik, Ibn al-Munzir, Ata’ dan Amru bin Dinar.
  2. Keluar daripada tawaf dan solat jenazah sebentar adalah lebih baik. Ini pendapat Abu Hanifah.

 

Jika seorang yang dalam ihram membawa atau menanggung orang yang dalam ihram lain dan tawaf kedua-duanya dengan berniat untuk diri masing-masing ada tiga pendapat mengikut mazhab Syafie:

 

  1. Dikira berlaku kepada yang membawa. Inilah pendapat yang asah. Ini juga pendapat Malik dan satu riwayat daripada Ahmad.
  2. Dikira berlaku kepada yang dibawa.

 

  • Dikira berlaku kepada kedua-duanya. Pendapat yang terakhir ini juga dikemukakan oleh Abu Hanifah dan Ibn al-Munzir dan satu riwayat daripada Ahmad.

 

Mengikut pendapat Syafie, Hanbali dan Maliki, bagi yang melakukan haji qiran hanya perlu tawaf sekali dan juga saie sekali. Sedangkan Abu Hanifah berpendapat dua kali tawaf dan saie iaitu umrah dan haji. Ini juga dihikayatkan oleh Ali dan Ibn Masud. Walaupun begitu, Ibn al-Munzir berkata: Nisbah kepada Saidina Ali adalah tidak benar.

 

Apabila seorang selesai tawaf dan solat fardu selepas itu memadai daripada solat sunat tawaf di sisi Mazhab al-Syafie mengikut pendapat yang asah. Imam Ahmad berkata: “Aku harap ia memadai”. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berkata: “Ia tidak memadai”.

 

Imam al-Nawawi berkata: Istimewa solat ini daripada yang lainnya dengan sesuatu iaitu dia boleh masuk ganti. Orang yang mengambil upah haji boleh solat untuk yang mengupah. Inilah pendapat yang tepat. Dalam Hasyiah menyatakan memadai juga dua rakaat dari semua tujuh pusingan tersebut tanpa makruh sebagaimana juga disebut dalam al-Majmu’. Ini berdasarkan ia adalah sunat.

 

Perkara-perkara yang boleh dibuat selepas tawaf wada’

Makan/minum sekadar keperluan.

* Qada’ hajat dalam tandas bilik penginapan.

* Mengambil beg/barang yang diletak dalam bilik penginapan.

* Mencari keluarga yang hilang.

* Mencari harta yang hilang.

* Melawat atau membawa seorang yang sakit ke hospital.

* Membeli keperluan makanan/minuman sekadar keperluan perjalanan sahaja.

Mereka juga dikehendaki melakukan tawaf wada’ apabila keluar Mekah melebihi dua marhalah (92 kilometer), atau meninggalkan kota Mekah untuk balik ke kampung dan menetap di sana walaupun kurang dua marhalah kena juga tawaf wada’