BICARA 5 RUKUN ISLAM

BICARA 5 RUKUN ISLAM

07/13/2018 0 By admins

Assalamualaikum kepada anda semua yang sudi membaca, hari yang mulia ini pertama dan selama-lamanya syukur kita kepada Allah S.w.t diatas dua nikmat yang dikagumi oleh para anbia dan para ulama iaitu nikmat iman dan islam. Hari ini adalah hari yang menjadi penghulu segala hari iaitu hari Jumaat yang penuh barakah. Hari ini blog kami memaparkan satu hadis yang tidak asing lagi dari kitab yang dikarang oleh Al Imam Nawawi iaitu dalam kitab Hadis 40. Kali ini hadis mengenai “Rukun Islam”, jom sama-sama memahami dan menghayati apa yang diperkatakan hadis:

 

عَنْ أَبي عَبْدِ الرَّحمنِ عبدِ االله بْنِ عُمَرَ بْنِ الخطابِ رضي االله عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ االلهِ صَلَّى االلهُ عَليهِ وَسَلَّمَ یَقُولُ

(( بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شهادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ االله وَأَنَّ مُحمدًا رَسُولُ االله، وَإِقَامِ الصَّلاةِ، وَإِیْتَاءِ الزَّآَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ ))..

 

                                  رواه البخاري ومسلم

 

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn ‘Umar ibn al-Khatthab عنهما االله رضي beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: lslam itu terbina atas lima perkara: mengucap kalimah syahadah dengan bersaksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.

 

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim

Pokok Perbincangan Hadis:

  • Binaan Islam: Diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran dan melayakkannya masuk syurga serta jauh dari neraka. Struktur binaan yang kemas dan kukuh dengan asas-asas dan cabang-cabangnya.

 

  • Ikatan Antara Rukun-Rukun Islam: Sempurna iman bagi yang menerima sepenuhnya. Bagi yang menolak semuanya – hukumnya kafir Sesiapa yang ingkar salah satu – bukan muslim (ijma) Sesiapa yang menerima tapi malas melakukannya (kecuali syahadah) – fasiq Sesiapa yang melakukan dan iqrar secara pura-pura – munafiq

 

  • Matlamat Ibadat: Syahadah – syarat diterima amalan lain. Solat – penghubung antara hamba dengan tuhannya – pertama dihisab. Zakat – suburkan harta/ berkat – sucikan diri. Haji – tidak harus bagi orang yang berkemampuan untuk itu melewatkan pemergiannya – wajib segerakan. Haji Mabrur merupakan sebaik-baik jihad. Puasa – syahwat dikengkang/ maksiat terhindar – sebab kepada ketinggian darjah di sisi Allah. Pengajaran hadis: Hadis ini juga menerangkan tentang rukun lslam lima perkara. Hadis ini mengumpamakan lslam sebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang. Tanpa lima perkara ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun-rukun ini mestilah ditegakkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Menegakkan rukun lslam bermakna kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian bererti keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.

 

 

PENERANGAN BICARA 5 RUKUN ISLAM

1)  Mengucapkan dua kalimah syahadah

bermaksud kesaksian terhadap dua perkara. Pertama, hanya Allah SWT sahajalah Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Kedua, mengakui setulusnya bahawa Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang dibangkitkan Allah SWT kepada kita.

Namun, tidaklah cukup jika kita sekadar mengucapkan dua kalimah syahadah ini, jika tidak memahami maksud dan tuntutan di sebalik pengucapannya. Bandingannya samalah seperti sighah (ijab dan kabul) semasa akad nikah dalam perkahwinan. Ucapan yang dilafaz itu, menatijahkan suatu tanggungjawab maha berat bagi sepasang suami dan isteri.

 

Pesan Rasulullah SAW:

“Daripada ‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk neraka ataupun neraka membakarnya.”

                                                                                                                                 (Bukhari dan Muslim)

 

Hadis di atas menjelaskan, mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh kefahaman dan ketulusan, maka ia dapat menyelamatkan mereka daripada bakaran api neraka. Sebaliknya, mereka yang berpura-pura sahajalah, yang akan menjadi bakaran neraka Allah, wal’iyazubillah!

Ucapan syahadah bukanlah ucapan biasa, ia disertai dengan tiga perkara yang akan menjadi pembeza iman dan kufur, iaitu:

1. Dikrarkan dengan lidah
2. Ditasdikkan (diakui) dengan hati
3. Dibuktikan dengan amal

 

 

2)  Mendirikan solat lima waktu

Ia merupakan kewajipan paling utama. Ia jelas dipaparkan di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya:

 

“Ajaklah mereka (penduduk Yaman) menyaksikan (syahadah) bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku utusan Allah. Jika mereka telah mematuhinya, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu sehari semalam.”

                                                                                                                                   (Hadis Daripada Muadz bin Jabal, riwayat Muslim)

Solat yang dididirikan dengan sempurna, maka dapat mencegah diri si pelakunya daripada cenderung melakukan maksiat dan menuruti hawa nafsu seksnya. Firman Allah:

 

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

                                                                                                                                    (Al-Ankabut (29):(45)

 

 

3)  Menunaikan zakat

apabila cukup segala syaratnya. Zakat diindikasikan rukun ketiga, kerana ia sering digandingkan dengan solat demi menunjukkan Islam amat mengutamakan amalan ijtimai (kemasyarakatan) dalam kehidupan umatnya.

Nabi menyatakan:

 

“Apabila yang demikian telah mereka lakukan (bersyahadah dan bersolat), sampaikanlah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, diambil daripada orang-orang kaya lalu diberikan kepada orang-orang fakir,”

                                                                                                                                              (Hadis Ibn Abbas r.a, Riwayat Muslim)

 

Zakat adalah amalan yang mempunyai nilai ukhuwwah dan juga solidariti yang tinggi. Zakat juga mempunyai konotasi pembersihan harta, penyucian jiwa dan peningkatan peribadi yang terpuji. Orang yang istiqamah menunaikan zakat, maka mereka diberikan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan keuntungan di hari akhirat yang tidak ternilai harganya.

 

4)  Berpuasa di bulan Ramadan

Puasa adalah rukun Islam yang bersifat mendidik jiwa. Allah SWT sendiri mejamin akan memberikan pahala yang tidak terhad jumlahnya kepada mereka yang berpuasa, kerana amalan ini bersifat ‘tersembunyi’ dan tidak dapat dilihat seperti solat, haji dan zakat. Hanya orang berkenaan sahaja yang tahu sama ada dia berpuasa atau tidak, puasa ‘yang yuk’ atau puasa apa maqamnya.

Rasulullah SAW menukilkan:

“Semua amal anak Adam a.s dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda; kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t.. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekalian (yang mengerjakannya),”

                                                                                                                                            (Hadis Riwayat Muslim)

 

Berpuasa mampu melentur nafsu agar tunduk kepada Allah SWT. Bahkan puasa juga adalah suatu kaedah paling baik mengawal perut, kerana di situlah punca segala penyakit.

 

 

5)  Menunaikan haji di Baitullah

Menunaikan haji di Baitullah adalah kemuncak kepada rukun Islam yang lima. Ia menjadi bukti agung keIslaman seseorang, namun hanya mereka yang mampu sahaja diwajibkan. Dengan menunaikan haji, maka lengkaplah sudah rukun Islam kita.

 

Dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya:

“Kami pergi haji dengan Rasulullah SAW, bersama-sama dengan wanita dan anak-anak. Setelah sampai di Mekah, kami tawaf di Baitullah, saie antara Safa dan Marwah…”

                                                                                                                                           (Hadis Riwayat Muslim)

 

Namun begitu, Nabi SAW sendiri hanya menunaikan haji sekali dalam usianya. Ini menunjukkan, yang penting bukan berapa kali ‘naik haji’ melainkan hikmah dan iktibar di sebalik perlakuan haji. Jika rukun Islam yang lain, lebih lembut dan sederhana sifatnya, namun haji adalah perlakuan ibadah yang menzahirkan kesepaduan, kekuatan ummah dan kehebatan individu muslim.

Sebab itulah haji mewajibkan ihram sebagai busananya, menzahirkan tubuh badan yang sihat dan kuat. Semuanya berihram, bukti kita ini hakikatnya sama sahaja tarafnya di sisi Allah SWT. Perlakuan haji juga memerlukan kekuatan tubuh badan, berlarian antara Safa dan Marwah, melontar ketulan batu, bermalam di Muzdalifah dan sebagainya.

Paling agung, haji adalah kongres umat Islam sedunia. Tempat saling kenal-mengenali, mencipta kekuatan ummah dan juga medan pernyataan emosi yang tidak terbatas. Apa lagi yang tidak dinamakan ‘demontrasi’ jika masing-masing mengelilingi Ka’abah dan berarak sambil mengucapkan talbiyah…Labbaikallahu malabaik!!!

Wallahua’lam.

Semoga pembaca dapat mendapat intipati yang cukup-cukup bernas serta dapat menambah ilmu yang bermanfaat, jom sama-sama kita berkongsi hadis ini kepada ahli keluarga tercinta serta sahabat-sahabat muslim bagi membantu menambahkan ilmu serta beramal dengan hadis ini. Semoga berjumpa lagi dengan hadis-hadis yang sahih. Jazakkallahu khairan kathiran, Assalamualaikum w.b.t