KEUNGGULAN HARI JUMAAT

KEUNGGULAN HARI JUMAAT

07/06/2018 0 By admins

Assalamualaikum kepada anda semua penulis-penulis serta pembaca-pembaca blogger, hari yang mulia ini pertama dan selama-lamanya syukur kita kepada Allah S.w.t diatas dua nikmat yang dikagumi oleh para anbia dan para ulama iaitu nikmat iman dan islam. Hari ini adalah hari yang menjadi penghulu segala hari iaitu hari Jumaat yang penuh barakah. Hari ini blog juara memaparkan suatu kehebatan atau suatu keunggulan penghulu hari yakni hari Jumaat, hari yang dikatakan Nabi Adam diciptakan. Kali ini info kehebatan mengenai “Keunggulan Penghulu Hari”, jom sama-sama memahami dan menghayati apa yang diperkatakan dalam artikel dan mengambil iktibar serta tauladan dari artikel ini.

 

Penghulu segala hari

Hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan.

Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Hari Jumaat juga dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Dalam kalendar terdapat 7 hari dalam seminggu. Hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin ialah hari Jumaat. Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

 

Hari Paling Mulia

Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam as) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim)

 

Hari Bagi Kaum Muslimin

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Muhammad SAW dalam masjid untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengar dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”(Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)

 

Hari Kebesaran Mingguan

Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah saw bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.”(HR. Ibnu Majah)

 

Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi
Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan mereka terdapat tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat Jumaat.

Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke arasy untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata:“Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

 

Hari Mustajab Doa
Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
a. Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
b. Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).

 

Hari Lebih Utama Bersedekah
Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.
Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya”.

 

Hari Meraih Pahala
Orang yang hadir dan menunaikan kewajipannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.

Aus bin Aus berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).

 

Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’

Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).

 

Hari Berlakunya Kiamat
Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Kiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari kiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

Sabda Rasulullah SAW.: “Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

 

Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga
Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.
Firman Allah SWT;

“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).” (Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)

Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas: “‘Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”

 

Hari Dihapuskan Dosa
Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntutan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari)

 

Hari Terselamat Dari Seksa Kubur
Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.

Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

 

Hari Hidayah Daripada Allah SWT
Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda;

“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.).

 

Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaatnya untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.

 

Penghulu Segala Hari
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding dengan hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir R.A berkata, Rasululullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)